DUA pengarah Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., mengaku tak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini berhubung penjualan stoking bercetak kalimah Allah.
Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57 dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mengikut semua pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. serta dua pengarahnya itu berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah pada rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Antara lain yang turut didakwa ialah beberapa individu pengurusan tertinggi syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd; Soh Chin Huat, 61; Soh Hui San, 36; dan Goh Li Huay, 53, yang membekalkan stoking kontroversi itu kepada rangkaian kedai serbaneka itu.
Sementara itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga individu; Chin Huat, Hui San dan Li Huay didakwa pada hari yang sama telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut di mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Sementara itu peguam yang mewakili dua pengarah KK Mart, Datuk Rajpal Singh memohon agak anak guamnya dibenarkan jaminan sejumlah RM12,000 bagi kedua-dua anak guamnya.
“Kee Kan telah berkahwin dengan Siew Mui dan mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini masing-masing berusia 21 dan 13 tahun.
“Walaupun Siew Mui merupakan pengarah Syarikat itu, namun dia merupakan seorang suri rumah malah Kee Kan mempunyai 5,000 pekerja di 810 rangkaian kedai serbaneka di Malaysia, Nepal, India dan Brunei,” katanya.
Manakala peguam bela tiga pengarah Xin Jian Chang, Lau Yi Leong merayu supaya setiap anak guamnya diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.
“Walaupun Li Huay memegang jawatan dalam syarikat itu, namun dia hanyalah seorang suri rumah dan menjaga cucu di Batu Pahat, Johor.
“Manakala Chin Huat dan Hui San memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan malah tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” hujahnya.
Selepas mendengar permohonan daripada kesemua pihak, Muhamad Anas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.
Baru-baru ini, KK Mart menjadi tumpuan selepas beberapa gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular di media sosial.
Pada 16 Mac lalu, Kee Kan memohon maaf susulan kontroversi yang dihadapi oleh syarikat miliknya dalam satu sidang media bersama-sama pengurusan tertinggi Xin Jian Chang Sdn Bhd iaitu Chin Huat yang menjelaskan bahawa stoking terbabit diimport dari China.
Puluhan laporan polis dibuat di seluruh negara selain seruan daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh agar masyarakat umum memboikot rangkaian kedai serbaneka bernekaam susulan isu itu.
Dalam pada itu, kilang milik Xin Jiang Chang Sdn Bhd di Baru Pahat ditutup buat sementara waktu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

