GARA-gara menumbuk seorang lelaki tempatan sehingga maut hanya kerana insiden terlanggar bahu dua minggu lalu, seorang juruteknik warga Amerika Syarikat (AS) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menyebabkan kematian.
Tertuduh Thomas Joseph, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut kertas pertuduhan, Thomas didakwa telah menyebabkan kematian K. Chandra Bose, 58, dengan niat hendak mengundang kecederaan tubuh badan, yang mungkin mengakibatkan kematian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di The Square Jaya One, Petaling Jaya sekitar jam 12.30 tengah malam pada 23 Mac 2024.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim tidak menawarkan sebarang jumlah jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes itu merupakan kes yang tidak boleh dijamin.
“Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan fakta bahawa dia merupakan seorang warga asing.
“Jika jaminan diberi, terdapat risiko tertuduh untuk melarikan diri serta tidak hadir di prosiding akan datang,” kata Anis Hakimah.
Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, Anis Hakimah memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan yang tinggi, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan tidak menganggu saksi pendakwaan.
“Namun begitu, pihak pendakwaan kekal dengan pendirian untuk tidak menawarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh,” katanya.
Sementara itu, Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya itu dibenarkan jaminan pada kadar RM15,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Syahliza memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
“Setelah mahkamah menimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi isu jaminan, mahkamah berpandangan tiada alasan yang munasabah bagi membenarkan jaminan bagi kes ini.
“Oleh itu, jaminan tidak dibenarkan,” kata hakim itu sebelum mahkamah menetapkan 28 Mei depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini pada 26 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas ditumbuk oleh seorang lelaki warga asing ekoran perselisihan faham yang berlaku antara dua invidu terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata dalam kejadian itu, lelaki warga asing terbabit dikatakan terlanggar badan mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

