TIGA warga Indonesia antara 25 hingga 50 tahun yang disyaki membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual dalam talian ditahan Jabatan Imigresen, Khamis lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) itu tumpas dalam satu operasi khas di sekitar Setapak dan Ampang.
Menurut beliau, operasi yang bermula pada pukul 12.15 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ruslin berkata, operasi tersebut turut disertai dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Berdasarkan aduan dan risikan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan telah menahan dalang utama iaitu seorang wanita warganegara Indonesia berusia lingkungan 50 tahun.
“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang lagi wanita warganegara Indonesia masing-masing berusia 25 serta 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai promoter dalam talian produk kosmetik dan kecantikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Pegawai Imigresen tak boleh tolak permohonan walaupun tak fasih bahasa Melayu
Mengulas lanjut, Ruslin memberitahu, hasil semakan awal mendapati salah seorang wanita tersebut memiliki pas lawatan sosial (PLS) yang masih sah laku, seorang lagi wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan lelaki itu pula telah tinggal lebih masa.
Jelasnya, pelbagai jenama produk kosmetik dan kecantikan telah dirampas di samping dua pasport Indonesia; wang tunai sebanyak RM3,263 dan wang tunai Indonesia berjumlah 3.27 juta rupiah.
Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah membawa masuk produk secara haram untuk dijual dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.
Katanya, sindiket tersebut menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.
“Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63; Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka ketika ini ditahan di Depot Imigresen Semenyih manakala seorang lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan.
“Warganegara asing ini juga akan disiasat KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

