KERAJAAN meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi memperkasa dan meningkatkan penyertaaan belia menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu, antara lain bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program latihan seiring keperluan semasa pihak industri.
“Kita mahu supaya bidang-bidang berkaitan industri berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik, bahan termaju atau advanced materials, teknologi elektrik, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan perladangan, diberi nilai tambah selaras perkembangan teknologi semasa.
“Ini juga memberi peluang kepada institusi TVET mewujudkan lebih banyak segmen TVET kepada masyarakat golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta orang asal di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, hari ini.
Baca artikel lain: Jangan guna kebebasan media untuk porak-peranda negara – PM
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam masa sama, Anwar berkata institusi TVET negara perlu melakukan anjakan segera bagi melonjakkan bidang kemahiran itu ke tahap lebih tinggi, seiring peruntukan besar yang disediakan dan tumpuan khusus yang diberikan kerajaan terhadap pendidikan TVET.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan hampir RM8 bilion yang disediakan kerajaan, merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah bidang pendidikan TVET dan ia seharusnya meletakkan bidang itu ditahap tertinggi, sebagaimana negara maju lain.
“Kenapa kita terus bagi penekanan kepada pendidikan TVET? Antara sebabnya ialah negara memperoleh pelaburan atau FDI tinggi, yang pastinya pelabur memerlukan tenaga kerja mahir bagi pengoperasian syarikat mereka di sini.
“Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Jerman juga begitu yakin dengan kemahiran yang ada pada jurutera Malaysia dan untuk itu kita perlu terus perkasakan bidang TVET untuk penyediaan tenaga kerja mahir yang berterusan,” katanya.
Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Ahmad Zahid yang disifatkannya amat bersungguh-sungguh dan berjaya dalam membawa TVET kepada seluruh masyarakat, termasuk kepada mereka yang belajar al-Quran di pusat-pusat tahfiz.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

