PELAKON Intan Najuwa mendedahkan sudah empat bulan dirinya tidak bertemu dengan kuda kesayangannya disebabkan mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan pertamanya itu.
Menurut Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid,27, dia mudah loya dan tidak selesa dengan keadaan sekeliling kandang kuda terbabit.
“Sudah empat bulan dan sampai sekarang saya masih belum boleh pergi ke kandang kuda.
“Kalau sebelum ini saya selalu cium-cium kuda saya. Ada satu masa tu, bila saya tak tahu sedang mengandung, tiba-tiba saya bau kuda yang sangat pelik.
“Saya tanya suami kenapa dengan bau tahi kuda, tukar makanan kuda ke? Seminggu lepas tu, baharulah saya tahu yang saya sedang hamil,” katanya.
Intan berkongsi mengenai alahannya itu menerusi sesi siaran langsung di TikTok miliknya.
Pada masa sama, Intan akui sedih kerana agak lama tidak bertemu dengan kuda kesayangan yang merupakan hadiah pemberian suaminya itu.
Dalam pada itu, Intan turut berkongsi perubahan dirinya disebabkan pembawaan bayi dalam kandungan sehingga perlu menukar langsir dan mengubah pasu di rumah.
“Masa trimester pertama, saya emosi sangat-sangat. Langsir tu tak buat apa-apa pun elok saja selama ni. Dah tak fasal-fasal kena tukar lain.
“Tak boleh biarkan sebab akan rasa benda itu menganggu kehidupan kita. Pasu dekat rumah pun saya suruh orang gaji alihkan.
“Saya tak boleh tengok pasu, nak muntah. Padahal pasu tu saya yang beli, saya yang deko.
“Bayangkanlah, muntah dan tak boleh makan. Tapi saya rasa itulah pembawaan anak,” ujarnya.
Semalam (Khamis), Intan berkongsi berita gembira apabila dia kini sedang hamil anak pertama.
Untuk info, Intan bernikah dengan seorang usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos tahun lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

