PENDEKATAN menoktahkan kemiskinan tegar yang dilakukan Kerajaan MADANI ketika ini dilaksana tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat warganegara ini yang tergolong dalam miskin tegar wajib dibantu tanpa diskriminasi.
Bagaimanapun, beliau mengakui majoriti yang miskin adalah Melayu bumiputera tetapi kelompok masyarakat India tergolong dalam kategori paling miskin.
“Saya bagi contoh umpamanya untuk Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, kalau majoriti (miskin tegar) itu Melayu tetapi jumlah masyarakat India (miskin tegar) juga besar dan ketimbang jumlah penduduk, jumlahnya itu tinggi.
“Tapi bila kita selesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tak ikut kaum. Maknanya, semua masyarakat miskin atau kategori miskin tegar, Melayu satu jumlah kecil, dalam kalangan masyarakat Cina tapi besar di masyarakat India. Itu diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang meminta Perdana Menteri menoktahkan kemiskinan semua kaum kerana walaupun majoriti paling miskin adalah daripada kaum Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan yang miskin adalah daripada kaum India.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa tidak benar sekiranya bantuan atau pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar itu hanya melibatkan kaum Melayu semata-mata.
Baca artikel lain: Kerajaan tidak diskriminasi orang politik dalam lantikan GLC, GLIC – PM Anwar
Jelas beliau, sekiranya terdapat kenyataan sedemikian, perkara itu jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan MADANI.
“Saya mohon kawan-kawan, rakan-rakan kita dari masyarakat India, gunakan ini sebagai pendekatan. Tidak benar sama sekali bila kata miskin tegar (tidak babit semua kaum), termasuk di Kelantan.
“Ada senarai yang kecil sekali, tak salah saya di Kuala Krai atau di mana, ada dua tiga keluarga masyarakat India, itu juga dimasukkan.
“Tidak benar kalau dikatakan hanya untuk Melayu tapi tentunya jumlah ini besar dan jumlah majoriti adalah masyarakat Melayu,” katanya.
Sementara itu, Anwar tidak bersetuju dengan kenyataan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) bahawa kerajaan gagal menoktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kelompok miskin tegar adalah sewaktu Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.
“Kita guna angka itu dan kita selesaikan. Kemudian saya rujuk kepada semua kerajaan negeri. Setakat ini Menteri Besar-Menteri Besar tidak semesti seperti Ahli Parlimen, dia bagi kerjasama sepenuhnya dan saya beritahu jumlah ini sekian di Kelantan, umpamanya sekian-sekian di Rantau Panjang, kita selesaikan.
“Tetapi saya minta kerajaan negeri termasuk pegawai jajahan untuk tambah lagi dan kita lakukan serta kita pinda daripada pendekatan lama yang kerajaan dulu buat kepada pendapatan per kapita berdasarkan maklumat baharu termasuk daripada Majlis Kos Sara Hidup dan libat urus kita dengan kerajaan-kerajaan negeri yang belum pernah dilakukan sebelumnya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

