DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan melakukan pakatan jahat dengan menyebarkan video tidak sahih bagi menjatuhkan reputasi sebuah restoran, pada September tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu pemandu e-hailing, Ho Swee Shinn, 57, dan warga emas, Chan Kim Seng, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Magistret S Mageswary.
Mengikut kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menyebarkan video yang mempunyai kandungan tidak sahih di sebuah restoran di Sentul, Kuala Lumpur sekitar pada 23 September 2024.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan pengetahuan bahawa tindakan terbabit akan merosakkan reputasi restoran terbabit yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 500 Kanun yang sama.
Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikiut Seksyen 120B KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya, jika sabity kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 masing-masing bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) CH Low, memohon agar kedua-dua tertuduh dibenarkan jaminan minimum memandangkan Swee Shinn tidak mempunyai pendapatan tetap selain merupakan duda yang menanggung seorang anak, manakala Kim Seng tidak bekerja dan menanggung isteri serta anaknya.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Mageswary membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap seorang tertuduh selain menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan lantikan peguam.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

