Pemandu Satria putih tular mengaku tak bersalah langgar MPV polis

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

PEMANDU Proton Satria yang sebelum ini tular di media sosial selepas melanggar sebuah kereta peronda polis (MPV) ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya pada hujung bulan lalu, dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Petaling Jaya hari ini atas tiga pertuduhan.

Lelaki berkenaan didakwa memandu di bawah pengaruh dadah, mengingkari perintah anggota polis yang bertugas, dan menyebakan cedera parah ke atas seorang orang awam.

Tertuduh, P Keeshor Kumar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin dan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Di hadapan Majistret Nur Natasya, Keeshor yang juga seorang penarik kereta itu didakwa sebagai pemandu kereta terbabit, didapati memandu di bawah pengaruh dadah yang boleh menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kereta yang dipandunya itu sehingga menyebabkan kecederaan ke atas orang awam yang juga penunggang motosikal, R Hemakumar, 31 di Jalan PJU 1A/1 dari arah 1A/20, dekat Petaling Jaya, sekitar jam 11.40 pagi, 26 Disember tahun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh tahun sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurainb Syafiqeen Mohd Rozi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh. Majistret Nur Natasya kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000.

Sementara itu di hadapan Majistret Shahril Anuar, lelaki terbabit didakwa mengingkari perintah anggota polis, Lans Koperal Mohammad Hafizzuddin Aman dengan tidak memberhentikan kenderaan sehingga menyebabkan bahaya terhadap nyawa orang lain, di Kilometer (KM) 16, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), berdekatan Icon City, Sungai Way, Petaling Jaya sekitar jam 11.32 pagi, tarikh yang sama.

Justeru, bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baca: Lari daripada pemeriksaan polis, 2 lelaki dalam Satria Putih ditahan bersama syabu

Selain itu dia juga didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Hemakumar dengan memandu kereta yang sama dengan gopoh sehingga membahayakan nyawa orang lain di hadapan sebuah kondominium di Ara Damansara, Petaling Jaya, pada tarikh dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Keeshor turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di mana dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor atas pertuduhan memiliki senjata berjadual di tempat awam iaitu satu unit alat renjatan elektrik tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima sehingga 10 tahun, sekiranya disabitikan kesalahan.

Bagi kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah Che Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes memiliki senjata tanpa kebenaran yang sah merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin. Justeru, Hakim Noor Ruzilawati tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh.

Beliau turut membuat permohonan sama di hadapan Majistret Shahril Anuar ekoran Mahkamah Sesyen telah mengarahkan agar tertuduh tidak dibenarkan jaminan sebelum majistret itu turut tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.

Kesemua mahkamah menetapkan 28 Februari depan bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikkan peguam.

UtusanTV sebelum ini, dua lelaki ditahan selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya dan merempuh sebuah MPV polis pada 26 Disember lepas.

Kejadian berlaku di KM 16, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) apabila kedua-dua suspek yang menaiki kereta Proton Satria putih memandu secara melawan arus kerana cuba lari daripada sekatan polis.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Azam Baki kekal sah anggota Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027

PUSAT Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menegaskan kehadiran Tan Sri Azam Baki pada Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC, 30 Jun...

More Articles Like This