PERGERAKAN Pemuda UMNO mengesyorkan Wisma Putra untuk segera mengeluarkan nota bantahan rasmi terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS) susulan cadangan Presidennya, Donald Trump supaya negara itu mengambil alih Gaza.
Pada masa sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Wisma Putra memanggil Duta Besar AS ke Malaysia bagi menyatakan pendirian tegas negara dalam isu tersebut.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan sebuah negara diceroboh dan hak rakyatnya diabai.
Katanya, Pemuda UMNO turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengambil pendirian tegas terhadap AS dalam menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak asasi rakyat Palestin dan menjejaskan kestabilan rantau tersebut.
“Pemuda UMNO menegaskan bahawa penyelesaian kepada krisis di Gaza bukanlah melalui penjajahan baharu oleh kuasa besar tetapi melalui keadilan dan pematuhan hak asasi manusia.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk menolak sebarang cadangan yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kedaulatan negara serta mendesak agar hak rakyat Palestin dikembalikan sepenuhnya.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan hak mereka untuk bebas dari kezaliman dan penjajahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Mesir, Palestin bincang rancangan pemulihan Gaza tanpa pindahkan penduduk
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal menegaskan cadangan Trump itu bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, mencabuli undang-undang antarabangsa dan menunjukkan kejahilan yang jelas terhadap realiti konflik di Palestin.
“Tindakan sedemikian jelas melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva serta resolusi-resolusi antarabangsa yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“Cadangan ini juga mencerminkan sikap angkuh dan jahil terhadap penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya.
Terdahulu, Trump semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada Selasa mengemukakan cadangan agar AS mengambil alih Gaza.
Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain walaupun rakyat Palestin, Mesir dan Jordan menolak cadangan tersebut.
Selain itu, Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan.
Arab Saudi bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara Palestin belum ditubuhkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

