MALAYSIA buat kali kelima dalam sejarah keanggotaannya dalam ASEAN dipilih menjadi Pengerusi tahun ini selepas sebelum ini pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Setiap kali Malaysia memegang peranan ini, ia bertekad untuk mengukuhkan hubungan diplomatik serta mencapai kemajuan dan kemakmuran bersama di rantau berkenaan.
Antara pencapaian utama negara semasa menjadi Pengerusi ASEAN adalah Malaysia telah menjalankan peranannya dengan komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan sosial dalam kalangan negara-negara anggota pada 1977.
Pada 1997, Malaysia mengetuai ASEAN dalam penubuhan ASEAN Vision 2020, sebuah visi jangka panjang untuk mencapai keamanan dan kemakmuran di rantau ini.
Kira-kira lapan tahun kemudian, pada 2005, Malaysia sekali lagi mengambil peranan Pengerusi dan terus memajukan integrasi ekonomi melalui ASEAN Economic Community (AEC) dengan fokus utamanya untuk mengurangkan halangan perdagangan dan meningkatkan kesepaduan ekonomi antara negara anggota.
10 tahun selepas itu, pada 2015, Malaysia meneruskan legasi kecemerlangan dengan mengutamakan teknologi dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi serantau, yang mana pengerusi kali ini telah mempromosikan penggunaan teknologi hijau dan menyokong usaha-usaha untuk mencapai matlamat pembangunan mampan di seluruh ASEAN.
Kini, pada 2025, Malaysia kembali menjadi tuan rumah untuk persidangan penting ASEAN dan lebih istimewa, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai Pengerusi ASEAN, banyak manfaat yang diperoleh Malaysia seperti meningkatkan pengaruh diplomatik; mempercepatkan pembangunan ekonomi; kepimpinan inisiatif keselamatan; perkongsian teknologi dan inovasi; meningkatkan pelancongan dan mendukung kerjasama serantau.
Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar daripada Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, menjadi tuan rumah untuk persidangan-persidangan penting ASEAN akan melonjakkan tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam menghadapi cabaran politik antarabangsa yang tidak menentu.
Kata beliau, kehadiran pemimpin-pemimpin rantau ASEAN dan rakan-rakan dialog dari luar akan membuka jalan untuk mereka meneroka peluang dagangan dan pelaburan dengan Malaysia.
Dr Tunku Mohar berkata, Malaysia boleh menyumbang idea dan rancangan strategik bagi merangka Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang bakal disiapkan tahun ini.
“Pemimpin-pemimpin negara dan perniagaan dari luar yang hadir ke persidangan berkaitan ASEAN boleh melihat sendiri kestabilan politik dan ekonomi, juga insentif-insentif yang disediakan bagi memudahkan hubungan dagang dan pelaburan mereka dengan Malaysia. Ini dapat membantu mereka untuk lebih memahami dasar ekonomi negara yang mesra dagangan dan pelaburan,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Dr Tunku Mohar berkata, persidangan pelbagai agensi ASEAN di Kuala Lumpur dan juga beberapa tempat lain seperti Langkawi, Pulau Pinang, Johor Baru dan Kuching juga secara tidak langsung akan membantu promosi kawasan pelancongan menarik di negara ini buat semua delegasi.
Beliau berkata, tumpuan media terhadap persidangan-persidangan ini dapat memperkenalkan lagi lokasi-lokasi menarik di negara ini selain menyerlahkan sikap ramah mesra rakyat Malaysia di persada antarabangsa.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat membantu memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan lebih meluas.
“Sejak awal penubuhan ASEAN, Malaysia amat komited dalam mempereratkan kerjasama ekonomi. Ia juga memperkenal dan memperjuangkan rantau ini sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
“Di samping itu, Malaysia juga menerajui usaha untuk membawa negara-negara Indo-China dan Myanmar ke dalam ASEAN setelah berakhirnya Perang Dingin pada 1991. Malaysia adalah antara negara terpenting dalam menentukan hala tuju ASEAN,” katanya.
Dr Tunku Mohar menambah, peranan setiap kementerian Kerajaan MADANI juga wajar dipuji kerana telah berjaya menggerakkan institusi ASEAN dengan pelbagai mesyuarat di peringkat menteri, seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN.
“Boleh dikatakan semua kementerian mempunyai rangkaian serantau yang telah terbina sejak sekian lama. Pada tahun di mana Malaysia berperanan sebagai pengerusi, semua kementerian yang berkaitan perlu memastikan inisiatif serantau yang telah dipersetujui digerakkan bagi mencapai matlamatnya,” tambahnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

