“YANG jelas ialah apabila dia buka mulut dia bohong.”
Demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengadakan lawatan ke negara ini untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam hantaran di Facebook, Dr Mahathir menyifatkan Anwar boleh menafikan dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan Ahli Parlimen Tambun itu supaya tidak lagi melakukan pembohongan.
“Anwar nafi dia sekat pemimpin luar yang nak jumpa saya.
“Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.
“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang ‘setiap kali buka mulut mesti bohong’,” katanya dalam hantaran tersebut.
Kelmarin, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengadakan lawatan ke negara ini untuk bertemu Dr Mahathir.
Menurut Anwar, dakwaan yang dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dijadikan isu.
Beliau berkata, dakwaan tersebut juga tidak perlu dilayan.
“Jangan dilayan sangat, kalau (ada pemimpin luar) nak jumpa (Mahathir) apa masalahnya… kalau (ada) kawan dia nak jumpa (tiada masalah), (tapi) tak ada.
“Baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye (berkunjung ke Malaysia), tak ada minta nak jumpa (Mahathir) dan kalau nak jumpa, tak akan saya kata jangan, jumpalah, bukan nak rugi,” katanya.
Baca artikel lain: Kerajaan tak pernah sekat pemimpin luar adakan pertemuan dengan Mahathir
Dr Mahathir menerusi temubual dalam sebuah rancangan podcast mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menghalang beberapa pemimpin asing daripada berjumpa dengannya.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa pemimpin disekat itu adalah rakan beliau sendiri.
Dalam pada itu, Dr Mahathir dalam hantaran sama turut mengecam tindakan Anwar yang mengulangi dakwaan berhubung harta yang dimiliki anak-anaknya.
Dr Mahathir berkata, Anwar bersandarkan kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Namun begitu, beliau mendakwa Anwar tidak memberitahu perkara sebenar bahawa harta yang dimiliki anak-anaknya itu merupakan jumlah keseluruhan sejak 43 tahun lalu.
“Sedangkan Azam Baki juga yang menyata harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta.
“Selain itu, SPRM juga tidak tunjuk sebarang bukti saya telah kayakan anak saya menerusi jawatan saya.
“Dan seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti dari jadi Perdana Menteri,” katanya.
Mahathir juga menegaskan bahawa Anwar terus mengulangi dakwaan itu untuk “meneruskan pembohongannya”.
“Hakikatnya, saya telah saman dia dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak pun yang dia buktikan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

