SAH Entertainment terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan menjalinkan kolaborasi eksklusif penganjuran tiga konsert mega membabitkan artis popular tanah air di bawah naungan label terkemuka Universal Music Malaysia iaitu Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks.
Konsert ini bukan sahaja memperlihatkan kehebatan muzik tempatan, malah membawa pengaruh industri hiburan Malaysia ke peringkat yang lebih besar, termasuk di Singapura.
Sufi Rashid, penganjur utama bagi ketiga-tiga konsert berkata, usaha ini adalah langkah strategik dalam memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
“SAH Entertainment berbesar hati dapat membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas. Kerjasama dengan Universal Music Malaysia juga menjadi pemangkin dalam usaha menaikkan martabat seni suara negara,” katanya.
Jadual Konsert SAH Entertainment 2025:
? 31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
? Ogos 2025 – Dolla Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
? 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
? November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Dengan pemilihan lokasi ikonik seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment memastikan setiap konsert menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan suasana lebih eksklusif serta teknologi audio dan visual yang canggih.
“Kami berharap usaha kerjasama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi memastikan lebih ramai artis berbakat berpeluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi.
Manakala Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim pula berkata, kerjasama strategik dengan SAH Entertainment itu memberi tumpuan untuk mengembangkan bakat artis yang menjadi fokus utama pihaknya tahun ini untuk mencapai peminat muzik serumpun di rantau ini.
“Bersama SAH Entertainment yang mempunyai rekod prestasi baik dalam menganjurkan beberapa konsert baru-baru ini, termasuk konsert solo ‘sold-out’ Ernie Zakri yang pertama di Kuala Lumpur, kami yakin gandingan kekuatan kreatif kedua pihak dapat mencipta platform
yang luar biasa untuk ketiga-tiga artis di rantau ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem kreatif yang berkembang maju di Asia Tenggara, tetapi juga
memupuk pertumbuhan komuniti muzik di rantau ini yang semakin didorong oleh khalayak muda, sosial dan mudah alih,” ujar Kim Lim.
Bagi Ernie yang berjaya mengadakan Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 25 Januari lalu yang juga dibawakan oleh SAH Entertainment, fokus utama sekarang adalah penjualan tiket.

“Sejauh ini, persiapan untuk konsert di Singapura belum bermula kerana baru sahaja selesai dengan Konsert Aura: Ernie Zakri dan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL) dan sebagainya. Jadi, kita sedang fokus pada menjual tiket dan sekarang ini lebih mempersiapkan diri untuk sebenarnya berehat.
“Sebab, seperti mana semua tahu konsert tempoh hari saya kurang sihat jadi doktor menyarankan untuk berehat. Jadi, saya perlukan rehat sedikit sebelum kembali pada konsert di Singapura pada Mei depan.
“Pastinya, saya teruja kerana konsert di Singapura ini akan menjadi meriah sebab saya tahu orang di Singapura sangat memberikan sokongan hebat. Saya sentiasa rasa gembira dan teruja kalau dapat bernyanyi di Singapura. Apatah lagi, ini menjadi konsert solo pertama saya di sana,” ujarnya.
Mewakili DOLLA, Sabronzo berkata mereka sangat teruja dengan penganjuran konsert berkenaan.
“Kami sangat teruja dan bersyukur dapat mengadakan konsert solo di Singapura buat pertama kalinya. Ini adalah impian kami sejak sekian lama, dan kami tidak sabar untuk bertemu peminat DOLLA yang telah menyokong kami dari awal.
“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan. Jumpa anda semua pada 30 Ogos di Capitol Theatre!,” katanya.
Sementara itu, Insomniacks menyifatkan konsert yang bakal diadakan adalah sesuatu yang cukup bermakna buat mereka.
“Tahun 2025 adalah tahun yang sangat bermakna buat kami kerana akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Ini adalah satu pencapaian besar bagi kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami selama ini.
“Kami tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik di Zepp KL pada 19 Julai dan seterusnya menggegarkan Capitol Theatre di
Singapura pada 29 November. Jumpa anda semua di sana!” katanya.
Peminat boleh mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment bagi mendapatkan maklumat terkini serta pembelian tiket.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

