LAPAN termasuk pemandu sebuah bas ekspres cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 62, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Maznan Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 6.45 pagi.
Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam dan Kulai telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba di lokasi dan mendapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres jenis Scania dan sebuah treler jenis Volvo yang membawa muatan besi,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Jelasnya, empat mangsa termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun didapati tersepit di dalam bas dan mengalami kecederaan.
Mangsa telah berjaya dikeluarkan anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.
“Sementara empat lagi mangsa yang cedera telah keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Semua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.36 pagi dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

