KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyokong siasatan berhubung tindakan tiga penyampai stesen radio Era FM yang didakwa mempermainkan upacara keagamaan Hindu.
Dalam hantaran di Facebook, Dr Muhamad Akmal menyifatkan hukuman perlu dikenakan terhadap mereka dengan tiada siapa pun terkecuali tidak kira agama, bangsa dan negara.
Kata beliau, ia sama seperti pendiriannya sebelum ini mengenai kes penjual jagung yang memaparkan papan tanda berunsur perkauman.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mempersoalkan perkembangan siasatan kes menghina agama Islam yang melibatkan pelawak, Harith Iskander dan pengguna media sosial, Cecilia Yap.
“Saya menykong apabila 3 DJ (penyampai) yang mempermainkan isu sensitif bagi penganut Hindu dikenakan tindakan.
“Saya juga nak tanya pada pihak berkuasa, jika 3 DJ ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Cecilia Yap dan Harith Iskander yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad dan agama Islam?
“Undang-undang terpakai untuk semua, bukan terpilih mengikut sokongan orang berpengaruh,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, media melaporkan enam kakitangan radio Era FM termasuk tiga penyampai popular stesen itu telah dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca artikel lain: Tindakan stesen radio persenda agama lain bertentangan prinsip Rukun Negara
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan enam individu tersebut dijadual hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11 pagi tadi.
Semalam, polis dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap petugas radio Era FM milik Astro selepas tular video yang menyaksikan perbuatan tiga penyampai stesen berkenaan yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.
Razarudin dilapor berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian, atau niat jahat atas alasan agama.
Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, pihaknya menerima enam laporan berkaitan kes itu dengan laporan awal diterima daripada seorang jurutera berusia 44 tahun yang mengesan video terbabit di aplikasi Facebook.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

