STESEN radio ERA FM milik Astro akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun media sosialnya, baru-baru ini.
Astro Audio dalam kenyataan memaklumkan, ERA FM juga akan menyediakan maklum balas seperti yang diminta pihak MCMC.
Pada masa sama, Astro Audio menjelaskan mengambil maklum Notis Niat Penggantungan Lesen yang dikemukakan MCMC dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Astro Audio mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh MCMC berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun media sosial ERA.
“Kami memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk mematuhi standard peraturan serta garis panduan komuniti di semua platform kami.
“Kami amat kesal dengan insiden ini dan kesulitan yang dialami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, MCMC mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio iaitu pengendali stesen radio ERA FM susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
Baca artikel lain: MCMC diarah siasat stesen radio milik Astro persenda agama lain
Menurut MCMC, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
“MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.
“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam (kelmarin),” katanya.
Terdahulu, penyampai segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Mereka tiba pada pukul 10.30 pagi dan meninggalkan Bukit Aman pukul 1.10 tengah hari dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna hitam.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kepada media yang menunggu di pekarangan Bukit Aman sejak pagi.
Selain tiga deejay program itu, tiga lagi individu yang memberi keterangan adalah kakitangan Era FM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

