SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak meneruskan hasrat untuk menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd iaitu pengendali stesen radio Era FM susulan kandungan yang dimuat naik di akaun media sosialnya, baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah meneliti hujah-hujah rayuan yang telah dihantar Maestra Broadcast berhubung notis niat penggantungan lesen dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac lalu.
Menurut MCMC, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan syarikat pemegang lesen dan permohonan maaf oleh pihak terbabit.
“Selain itu, ia juga mengambil kira kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
“Bagaimanapun, Maestra Broadcast telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari lalu), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: ERA FM beri kerjasama penuh siasatan MCMC, Astro Audio komited patuhi standard peraturan
Menguulas lanjut, MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, MCMC mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio iaitu pengendali stesen radio ERA FM susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.
Suruhanjaya tersebut memberitahu, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.
Astro Audio dalam kenyataan memaklumkan bahawa Era FM akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan dijalankan MCMC dan menyediakan maklum balas seperti yang diminta.
Pada masa sama, Astro Audio menjelaskan mengambil maklum Notis Niat Penggantungan Lesen yang dikemukakan MCMC dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

