ENAM kakitangan radio Era FM termasuk tiga penyampai terkenal stesen itu yang terpalit dengan kontroversi dakwaan mempersenda upacara agama Hindu telah dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, enam individu tersebut dijadual hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11 pagi tadi.
Menurut Razarudin, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit,” katanya.
Semalam, polis dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap petugas radio Era FM milik Astro selepas tular video yang menyaksikan perbuatan tiga penyampai stesen berkenaan yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.
Razarudin dilapor berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian, atau niat jahat atas alasan agama.
Baca artikel lain: Polis terima enam laporan, siasat tiga penyampai radio Era FM
Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, pihaknya menerima enam laporan berkaitan kes itu dengan laporan awal diterima daripada seorang jurutera berusia 44 tahun yang mengesan video terbabit di aplikasi Facebook.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
Sementara itu, pengurusan stesen radio tersebut, Astro Audio, dalam satu kenyataan memaklumkan sudah merehatkan ketiga-tiga pengacara radio berkenaan daripada ke udara sehingga diberitahu, sementara menunggu siasatan dalaman.
Astro Audio turut memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan melahirkan kekesalan atas insiden rakaman video melibatkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin di platform media sosial ERA.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

