PARTI Warisan kekal konsisten menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun bakal bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah nanti.
Memetik laporan BH Online, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman memaklumkan, pendirian parti itu terus konsisten termasuk kekal menjadi pembangkang di peringkat negeri.
Malah, kata beliau, Warisan tetap menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak berlakunya Langkah Sheraton pada awal tahun 2020.
“Ketika kerajaan bertukar dari Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Datuk Seri Ismail Sabri, Warisan tetap dengan pendiriannya menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Maka, adalah tidak wajar untuk mempersoalkan kesetiaan Warisan dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, yang mempertikaikan keputusan Warisan untuk bertanding secara solo pada PRN17 Sabah akan datang.
Baca artikel lain: PRN Sabah: Warisan, KDM umum tanding solo
Mengulas lanjut, Mohd Azis menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah pendirian Warisan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak jelas sedangkan parti itu kekal konsisten.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, pendekatan Warisan di Sabah yang memilih terus kekal menjadi pembangkang dilakukan demi prinsip dan semak imbang kerajaan.
“Dalam Mesyuarat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan jelas menyatakan bahawa Warisan memilih untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri Sabah.
“Ini adalah demi memastikan proses semak dan imbang yang lebih kukuh bagi kepentingan rakyat Sabah.
“Warisan bukan parti yang menikam rakan dari belakang. Apabila Pakatan Harapan (PH) memilih membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan mengambil keputusan untuk kekal dengan prinsipnya sebagai pembangkang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

