TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan Israel sehingga mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Gaza.
Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurut Ahmad Zahid, lapan petugas MAPIM itu merupakan wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara Islam yang tertindas.
“Saya berasa amat sedih dan berdukacita atas pemergian lapan petugas kemanusiaan MAPIM yang telah syahid dalam serangan udara kejam di Gaza.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM tetapi juga kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Lapan petugas kemanusiaan MAPIM terbunuh serangan udara kejam di Gaza
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Gaza.
“Marilah kita terus berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.
“Semoga roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Semalam, Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby dalam kenyataan memaklumkan lapan petugas kemanusiaan MAPIM terbunuh dalam serangan udara kejam dilakukan rejim zionis Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Serangan tersebut berlaku pada pukul 1.30 petang waktu Gaza ketika para petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat genosid berterusan.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai; Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

