KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan jawatankuasa teknikal itu adalah untuk memperkasa dan menstrukturkan kerjasama merentasi kementerian yang digerakkan secara ad hoc sebelum ini setiap kali menjelang musim perayaan.
Jelas beliau, jawatankuasa tersebut penting dalam menangani sesuatu isu berbangkit berkaitan harga dan bekalan barang keperluan rakyat.
“Jawatankuasa ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu-isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan secara cekap dan berkesan.
“Jawatankuasa ini akan bertindak bagi menyelaras tindakan yang perlu diambil dalam memastikan kestabilan harga serta keberadaan bekalan.
“Ketua Setiausaha KPDN akan mempengerusikan jawatankuasa teknikal yang akan turut dianggotai oleh wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensi serta industri berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemantauan akan dilaksanakan terhadap barang-barang seperti daging, ayam, telur, ikan, sayur-sayuran, beras, minyak masak dan barang keperluan asas lain yang merupakan permintaan pengguna.
Katanya, pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan sekiranya wujud isu-isu yang melibatkan harga dan bekalan dikesan di pasaran.
Menurut Armizan, jawatankuasa itu akan bersidang setiap dua bulan dan mesyuarat pertama akan diadakan pada bulan Mei ini.
“Penubuhan jawatankuasa ini merupakan pendekatan melibatkan pelbagai pemegang taruh melalui pendekatan whole of nation dalam mengurangkan isu-isu terkait harga dan bekalan sekali gus membantu menangani kos sara hidup rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

