“MANA mungkin MCA sertai DAP, bagai minyak dan air.”
Itu kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong membalas Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berhubung cadangan supaya MCA menyerahkan kerusi Parlimen kepada UMNO dan membubarkan parti itu seterusnya menyertai DAP.
Dalam hantaran di Facebook, Choo Seong menegaskan Zhemin tidak layak untuk memberi komen tentang Barisan Nasional (BN) kerana DAP bukan salah satu parti komponen gabungan itu.
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata, MCA merupakan sebuah parti moderat iaitu parti yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian.
Katanya, parti itu bukannya ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.
“Zhemin kata MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi, saya cabar Zhemin beritahu orang Cina, sama ada janji DAP untuk iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sudah dilaksanakan atau belum, setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan? Adakah janji untuk pajakan tanah 999 tahun sudah ditunaikan atau tidak?
“Kami tak sanggup gelar penyatuan umman menerusi kerjasama UMNO-PAS sebagai ‘isyarat perang ke atas bukan Islam atau bukan Melayu’, mahupun menyifatkan ia sebagai ‘negara Taliban’,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: Bubar saja MCA, sertai DAP – Chong Zhemin
Mengulas lanjut, Choo Seong menegaskan, MCA adalah parti yang berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat BN yang patriotik kepada Malaysia masih didukung sehingga kini.
“Sebelum Zhemin kritik MCA, apa kata kamu jawab dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini yang bertajuk ‘Desak gugur perjuangan Islam punca Pas tinggalkan DAP’,” katanya.
Terdahulu, Zhemin dalam kenyataan ‘mencadangkan’ MCA menyerahkan dua kerusi Parlimen mereka kepada UMNO dan membubarkan parti itu, seterusnya menyertai DAP.
Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak itu berkata, hal itu memandangkan dua kerusi Parlimen yang dimenangi MCA itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu yang mana pengundi-pengundi di situ adalah penyokong UMNO.
Perkara itu secara tidak langsung menurut Zhemin menunjukkan bahawa MCA telah lama hilang kepercayaan dalam kalangan pengundi Cina.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

