DATUK Seri Rafizi Ramli dinasihatkan untuk menyerahkan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kata Ketua PKR Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman.
Menurut Syed Badli Shah, hal itu dilihat penting bagi memastikan imej baik parti terpelihara memandangkan spekulasi Rafizi melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan mengambil cuti panjang terlalu lama telah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan ahli parti.
Beliau berkata, Rafizi seharusnya segera tampil menjawab segala spekulasi dan bukannya membiarkan isu ini terus dipolemikkan sehingga memberi kesan langsung kepada kestabilan parti.
“Rafizi tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri menepis isu remeh seperti ini dimata umum sedangkan beliau seharusnya memfokuskan segala usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi dan kerajaan.
“Namun jika benar segala spekulasi yang diperkatakan ini, saya ingin mencadangkan kepada Rafizi untuk berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin bagi menggalas tugas sebagai timbalan presiden tanpa perlu dicabar,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today.
Mengulas lanjut, Syed Badli Shah berkata, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ialah seorang pemimpin kanan dan berpengalaman yang mampu berkhidmat sebagai komandan kedua Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk rekod, pada Mac, Rafizi berkata, beliau akan mempertahankan Timbalan Presiden PKR, jawatan yang dipilih pada 2022 selepas menewaskan Saifuddin dengan majoriti 16,668 undi.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang bertiup kencang minggu lalu bahawa Rafizi telah meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas pemilihan bahagian PKR yang menyaksikan kekalahan beberapa orang besar sehaluan dengannya.
Saifuddin ragu-ragu sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan pimpinan pusat PKR. Pada Ahad, beliau berkata beliau telah mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Rafizi dan beberapa pertemuan dengan Anwar mengenai bertanding pemilihan parti.
Beliau juga berkata pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi, sebelum pencalonan ditutup pada 9 Mei.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

