KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dilantik semula menerajui suruhanjaya itu untuk tempoh satu tahun komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.
Azam dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keazaman itu supaya Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, beliau berkata, SPRM turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah memperkenankan pelantikan semula itu mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Menurut beliau, perkenan Seri Paduka itu adalah satu penghormatan besar kepadanya dan seluruh warga SPRM.
“Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini.
“Dengan penuh kesedaran akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan ini, saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera.
Baca artikel lain: Lantikan semula Azam Baki pastikan kesinambungan agenda banteras rasuah – MCW
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan ke pada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM masing-masing selama setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam SPRM, antaranya Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penguatkuasaan apabila menyertai agensi antirasuah berkenaan pada tahun 1984 yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

