KESILAPAN dilakukan oleh Pas Terengganu dalam isu logo melibatkan Jalur Gemilang baru-baru ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan ia berlaku selepas beberapa kontroversi berhubung kesilapan sama yang dilakukan sebelum ini.
Ironinya, kesilapan yang dilakukan Pas Terengganu itu berlaku selepas beberapa pemimpin dari parti itu membidas syarikat-syarikat swasta dan kerajaan terhadap kesalahan penggunaan logo Jalur Gemilang.
Perkara itu pada pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) , Dr Abdul Aziz Azizam dilihat membimbangkan kerana jelas sedikit sebanyak bahawa kurangnya keprihatinan dan ketelitian dalam pengunaan simbol negara.
Kata beliau, insiden itu juga boleh dikatakan mencerminkan kelemahan mereka yang terlibat dengan penyediaan bahan-bahan penerbitan seperti pereka grafik, penerbit kandungan dan pihak yang meluluskan paparan tersebut.
Beliau berkata, alasan terlepas pandang kerana menggunakan kecerdasan buatan (AI) tidak sepatutnya timbul kerana setiap rakyat Malaysia perlu cakna terhadap penggunaan Jalur Gemilang yang betul.
“Kebergantungan kepada AI perlu dibaiki kerana semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyemak semula setiap bahan sebelum dikeluarkan kepada umum khususnya melibatkan bendera negara.
“Kita tidak boleh meletakkan sepenuhnya kesalahan itu kepada penggunaan AI kerana sebagai pengguna AI, kita sendiri perlu melakukan semak semula segala kerja agar kesilapan dapat dielakkan. Itu tanggungjawab kita,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Terdahulu, Pas Terengganu kelmarin membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang mencetuskan kontroversi, berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.
“Kami ingin memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai dan penyokong atas kesilapan yang tidak disengajakan, serta sudah mengambil tindakan segera untuk menarik balik penggunaan logo berkenaan.
“Versi logo himpunan TMT 2025 yang diperbetulkan kini sudah dikeluarkan dan akan digunakan dalam semua bahan promosi serta pengumuman rasmi yang akan datang,” katanya melalui kenyataan.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, semua pihak khususnya ahli-ahli politik perlu berhenti mempolitikkan isu kesilapan Jalur Gemilang kerana sudah terbukti insiden itu boleh berlaku kepada mana-mana pihak baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pada masa sama, beliau juga melihat sudah tiba masa untuk kerajaan mengeluarkan garis panduan rasmi bagi penggunaan reka bentuk Jalur Gemilang yang jelas khususnya kepada syarikat penerbitan.
“Saya juga melihat sudah tiba masa untuk kerajaan mengambil tindakan tegas dalam bentuk hukumuan. Perkara ini akan memastikan kesilapan sama tidak berulang selain memupuk rasa hormat kepada identiti negara kita,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

