SEBANYAK 71 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan diberi kebenaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, hujung bulan ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua 71 buah sekolah itu diberi kebenaran melaksana PdPR pada 26 hingga 28 Mei.
Menurut KPM, cadangan kebenaran pelaksanaan PdPR bagi sekolah-sekolah terlibat itu mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Ia bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid di sekolah-sekolah yang terlibat tidak terjejas.
“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terlibat dinasihatkan merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KPM turut yakin pengalaman melaksanakan PdPR sewaktu musim pandemik COVID-19 dan semasa dalam situasi bencana dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran.
Pada waktu sama, aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.
Baca artikel lain: Sidang Kemuncak ASEAN: Persiapan PDRM, Jabatan Imigresen di fasa akhir – Saifuddin Nasution
Sebanyak 18 daripada 71 sekolah yang terlibat dengan PdPR semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 terletak di Petaling Utama termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Subang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad.
Dalam pada itu, lima sekolah terletak dalam daerah Petaling Perdana termasuk SMK TTDI Jaya dan SMK Shah Alam; enam sekolah terletak di daerah Sepang termasuk SK Cyberjaya dan SMK Putra Perdana.
Sementara itu, 22 sekolah terletak dalam daerah Keramat di Kuala Lumpur; sembilan di Sentul dan 10 sekolah dalam daerah Bangsar/Pudu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

