SYARIKAT pengeluar pintu keselamatan, NES Security Door Marketing Sdn Bhd (NES) merangka pelan eksport ke pasaran Taiwan, Filipina dan Australia pada tahun ini sebelum diperluaskan ke benua Amerika Utara, Asia Selatan dan Asia Barat.
NES yang semakin menyerlah dalam pengeluaran pintu keselamatan kediaman berkualiti tinggi itu juga mengorak langkah dengan pembukaan kilang baharu di Kawasan Perindustrian Meru Barat, Meru, Klang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NES, Datuk Seri Dom Tee, berkata, pembukaan kilang baharu yang meningkatkan kapasiti pengeluaran NES daripada 800 kepada 2,000 unit sebulan itu hadir tepat pada masanya, selari dengan strategi syarikat untuk menembusi pasaran eksport yang semakin berkembang.

“Dengan sasaran pertumbuhan tahunan 20 peratus, NES menyasarkan untuk menjana pendapatan eksport tahunan RM45 juta menjelang 2027,” katanya.
Pada majlis sama, NES turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Skinrock AG dari Switzerland, pelopor teknologi venir batu semula jadi ultra nipis.

Ia disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.

Tee berkata, perjanjian itu bukan sekadar memperluaskan operasi, sebaliknya permulaan kepada strategi jangka panjang NES untuk menghasilkan produk berasaskan reka bentuk, teknologi dan bahan unik dengan misi jelas untuk menembusi pasaran global dalam segmen premium.

“Perjanjian ini adalah pencapaian penting, tetapi hanya permulaan kepada perjalanan lebih besar.
“Kami bukan sekadar menghasilkan pintu. Apa yang kami sedang bina ialah jenama yang mampu bersaing di peringkat global.
“Matlamat kami adalah disenaraikan menjelang 2028 dengan sasaran penilaian pasaran RM400 juta.
“Dengan kerjasama strategik dan pertumbuhan konsisten, kami yakin dapat menjadi platform untuk syarikat tempatan menyerlah di persada dunia,” ujarnya.
Antara inisiatif awal hasil kerjasama ini termasuklah pelancaran siri baharu NES x Skinrock yang menampilkan venir batu semula jadi sebagai elemen rekaan utama.
“Rangkaian ini akan menampilkan koleksi khas Master Craft’s Artist iaitu pintu edisi terhad hasil kerjasama dengan pereka tempatan dan antarabangsa, menggabungkan kreativiti seni dan ketelitian pembuatan tempatan.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan NES dalam pasaran, malah memperlihatkan bagaimana pemain industri tempatan mampu memanfaatkan teknologi global untuk mencipta produk yang kompetitif, unik dan berkelas dunia,” jelasnya.
Sementara itu, pengasas Skinrock, Uelli Stiffler, berkata, pihaknya teruja dapat menembusi pasaran Asia Tenggara dengan kolaborasi bersama NES.

“Kami sangat teruja untuk memperkukuh kehadiran di Asia Tenggara melalui kerjasama ini. Bekerjasama dengan NES membuka peluang untuk meneroka aplikasi baharu bagi teknologi bahan kami, selain membawa inovasi venir batu semula jadi ini ke pasaran yang lebih luas.
“Kami berharap kerjasama ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak kerjasama rentas negara antara industri Eropah dan Malaysia,” katanya.

