POLIS mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai mencuri beg milik seorang wanita di dalam sebuah Perodua Myvi tidak berkunci di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, pukul 5.18 petang semalam.
Katanya, turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan sepasang pakaian yang digunakan ketika kejadian.
“Suspek kini direman tiga hari sehingga Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Rabu lalu, video kejadian turut dimuatnaik oleh UtusanTV tular di media sosial.
Sehingga kini video berkenaan telah ditonton 4.2 juta kali dan mendapat lebih 130,000 tanda suka serta 2,460 komen.
Naazron berkata, hasil siasatan suspek mengaku melakukan kegiatan curi dengan modus operandi mengambil beg mangsa yang ditinggalkan di dalam kereta yang tidak berkunci ataupun enjin masih dihidupkan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan lebih berwaspada agar kejadian serupa dapat dibendung.
Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

