JAWATAN dan kedudukan sebagai Perdana Menteri tidak menjadikan individu itu kebal daripada undang-undang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, jawatan Perdana Menteri merupakan amanah daripada Allah yang akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Menurut beliau, memelihara maruah negara adalah satu kewajipan apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ketika ini di mana apa sahaja yang dilakukan akan diteliti seluruh dunia.
“Mempertahankan maruah seorang pemimpin juga penting bagi sesebuah negara apatah lagi membabitkan Perdana Menteri.
“Namun, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang wajib dijunjung tinggi. Keadilan harus diberikan kepada semua tak kira apa pangkat dan kedudukan.
“Justeru, dalam kes terkini, Perdana Menteri wajib mempertahankan maruah dirinya sebagai seorang individu apatah lagi maruah institusi Perdana Menteri, bukannya memohon imuniti daripada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuatnaik ke Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: Pendakwaan tutup kes, keputusan Yusoff Rawther bebas atau bela diri pada 12 Jun
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pemimpin yang mempunyai kuasa tidak boleh menyalahgunakan proses keadilan.
Katanya, ia akan mengakibatkan keruntuhan kepercayaan kepada kepimpinan dan institusi kehakiman.
Beliau menegaskan, mahkamah adalah medan terbaik untuk sesiapa sahaja membersihkan diri dan nama mengikut lunas undang-undang.
Hamzah berkata, ketidakadilan akan mencetuskan prasangka, layanan dua darjat dan diskriminasi yang bukan sahaja rakyat akan hilang kepercayaan apatah lagi pelabur asing yang menganggap negara ini ditadbir oleh undang-undang rimba.
“Menurut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.
“Sekiranya hak ini dinafikan, rakyat akan memberontak dan sistem akan gagal terutama apabila mereka yang berkuasa dilihat menyalahgunakan kuasa dengan menjadikan kedudukan sebagai ‘perisai besi’ untuk melindungi diri daripada dihakimi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan permohonan luar biasa untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau berhak mendapat imuniti.
Ia melibatkan kes saman sivil bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther.
Permohonan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar perlembagaan, dengan majoriti menyatakan bahawa kekebalan hanya terpakai kepada Raja-Raja Melayu, bukannya pemimpin eksekutif seperti Perdana Menteri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

