AHLI perniagaan Haliza Maysuri menghasilkan tudung bernilai RM70,000 sebagai simbolik kemenangan samannya terhadap dakwaan fitnah dan kenyataan jahat dengan niat mahu merosakkan reputasinya di media sosial.
Kemenangan itu sekaligus membersihkan nama baik Bawal Exclusive (BE) yang dibangunkan sejak 27 tahun lalu sekaligus menyifatkan penghasilan tudung itu seperti tanda syukur selepas diduga dengan fitnah daripada bekas pengedar tudungnya sendiri.

“Disebabkan kami menang saman semalam saya arahkan kilang buat tudung bernilai RM70,000 yang saya pakai pada hari ini.
“Saya bukan nak menipu tapi ini semata-mata untuk julang nama BE semula.
“Maruah saya tak boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya kepada URTV.
Tegasnya, tindakan saman itu dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada pihak diluar sana agar tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah tanpa fakta sebenar.

Katanya lagi, dia selama ini hanya fokus kepada membina empayar perniagaan serta keluarga sendiri tanpa memikirkan hal orang lain.
“Saya dan suami bina jenama ini daripada menyewa bilik kecil saja. Ketika itu tiada staf beratus orang, tiada modal dan pendidikan serta tiada peguam yang jaga.
“BE dibina dengan jerit payah kami dan peluh kami. Saya nak beri amaran jangan main-main dengan jenama saya.
“Jangan jolok sarang tebuan. BE tidak sama dengan jenama lain,” luahnya.Â

Pada masa sama, orang ramai seharusnya berbangga dengan kejayaan BE kerana mampu menjalinkan hubungan baik dengan syarikat dari luar negara.
“Jenama ini dibina dengan peluh dan air mata, dengan kesusahan tiada modal serta pendidikan tapi rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan kami.
“Jenama Swarovski dari luar negara meletakkan kami sebagai branding rakan kongsi sehingga kami menjadi 10 teratas di syarikat itu,” tegasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

