INSENTIF diskaun 50 peratus yang ditawarkan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia kepada pengamal media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 terhad untuk pembelian 12,000 tempat duduk terawal.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam soalan lazim berhubung insentif diskaun 50 peratus tiket penerbangan AirAsia itu.
JAPEN dalam soalan lazim tersebut memberitahu, insentif itu adalah khas untuk pengamal media yang merupakan pemegang kad media (KPM) dan sah bagi pembelian satu tiket sahaja.
Katanya, pemegang KPM itu perlu berdaftar sebelum atau pada 4 Jun 2025 dan masih aktif juga sah tempoh sewaktu tempahan tiket penerbangan dibuat.
Menurut JAPEN, pengamal media yang layak perlu menggunakan kod promosi yang diberikan AirAsia semasa membuat pembelian atau tempahan tiket penerbangan di laman web atau aplikasi AirAsia.
Baca artikel lain: Kru AirAsia pamer profesionalisme dalam situasi cuaca buruk
Jabatan tersebut memberitahu, kod promosi bagi setiap pemegang KPM adalah unik.
“Kod promosi boleh diperolehi dengan cara e-melkan permohonan kepada pihak JAPEN di [email protected].
“Kod promosi akan dihantar kepada pemohon dalam tempoh tiga hari bekerja.
“Kod promosi ini hanya terpakai untuk tambang asas sahaja dan tidak meliputi sebarang caj tambahan seperti bagasi, makanan, pilihan tempat duduk, cukai lapangan terbang dan fi perkhidmatan lain,” katanya dalam soalan lazim tersebut.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), 14 Jun lalu memaklumkan pengamal media tempatan yang memegang KPM JAPEN bakal menikmati diskaun 50 peratus secara one-off bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 56 destinasi negara anggota ASEAN.
Ia merupakan satu inisiatif hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dengan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
Tempahan tiket akan dibuka hingga 31 Dis 2025 manakala tempoh penerbangan bermula pada April hingga September 2026, serta butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh JaPen dalam masa terdekat.
Setakat 4 Jun lepas, terdapat 12,428 pengamal media aktif yang berdaftar dengan JaPen dan memiliki Kad Perakuan Media, termasuk 12,297 warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai platform media cetak, penyiaran, digital dan portal berita dalam talian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

