SEORANG buruh warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih 20 kilogram (kg), tiga minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Munzir Abdurrahman, 50, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Normaizan Rahim.
Pengakuan lelaki itu tidak direkodkan memandangkan kes mengedar darah adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah didapati mengedar dadah je is Methamphetamine dengan anggaran berat 20,850 gram (g).
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat parkir sebuah pusat membeli-belah dekat Taman Melawati, Hulu Langat sekitar jam 12.38 tengah hari pada 22 Jun lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati, atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Kirthana sementara tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober depan bagi tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia.
Sebelum ini media melaporkan tertuduh ditahan pihak polis di kawasan pusat beli-belah terbabit ketika berjalan kaki sambil menjinjit satu beg kanvas pada tangan kanannya kira-kira pukul 12.35 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas terhadap beg yang dibawa itu telah menjumpai 20 paket plastik bertulisan dan dalam setiap bungkusan terdapat satu bungkusan plastik lutsinar berisi syabu.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM80,000 dan dipercayai mampu menampung keperluan kira-kira 20,850 penagih dadah di kawasan Lembah Klang.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

