PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya semalam, sebagai luar biasa.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada semua petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam serta mereka yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan itu dengan penuh dedikasi.
“Tidak lupa, terima kasih kepada para hadirin yang hadir untuk bersama-sama meraikan detik bermakna ini sebagai satu rakyat, satu negara.
“Kehadiran dan komitmen semua melambangkan kekuatan sebenar Malaysia kekuatan yang lahir daripada perpaduan, saling menghormati, dan rasa cinta terhadap tanah air tercinta ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di Putrajaya bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh warna-warni, mencerminkan semangat patriotik rakyat yang tidak pernah luntur.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tahun ini menekankan komitmen kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, sejajar prinsip Malaysia MADANI berteraskan perpaduan, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan.
Acara kemuncak sambutan ialah perbarisan dan perarakan membabitkan 14,062 peserta yang menampilkan pancaragam, aset hidup, kenderaan serta kontinjen daripada pelbagai sektor utama negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

