KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan bantuan RM2.5 juta bagi memperkasakan koperasi dan syarikat milikan komuniti India.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Program Pembudayaan Koperasi dan Usahawan Peringkat Negeri Selangor di bawah inisiatif Vanakam MADANI.
Katanya, program Vanakam MADANI itu merupakan kesinambungan daripada siri program yang telah berjaya dianjurkan di Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Menurut Ramanan, inisiatif itu bukan sahaja memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem koperasi dan keusahawanan, malah menunjukkan hasil kerjasama erat pelbagai agensi di bawah KUSKOP untuk memastikan manfaatnya sampai terus kepada rakyat.
“Melalui pelaksanaan program hari ini, saya telah menyampaikan bantuan berjumlah RM2.5 juta bagi memperkasakan koperasi dan syarikat milikan komuniti India.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM117,500 disalurkan sebagai bantuan geran koperasi komuniti India melalui inisiatif Bakti MADANI, manakala RM2 juta pula diperuntukkan bagi pembiayaan Tabung Modal Pusingan untuk membantu koperasi memperkukuh kedudukan kewangan dan daya saing mereka.
“Selain itu, sebanyak RM356,224 telah disalurkan melalui Inisiatif I-BAP di bawah SME Corp. Malaysia kepada enam syarikat milikan usahawan India bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti serta memperluas pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, pelaksanaan program itu secara langsung menyokong aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat usahawan yang lebih dinamik dan berdaya tahan, selain memperkukuh penglibatan komuniti India dalam sektor koperasi dan keusahawanan.
Katanya, usaha tersebut juga memberi peluang kepada golongan peniaga kecil dan sederhana untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan dan bimbingan yang diperlukan bagi meningkatkan produktiviti, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ramanan berkata, inisiatif itu adalah bukti nyata bahawa kerajaan melalui KUSKOP sentiasa komited untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan dan juga menzahirkan prinsip keterangkuman dan kesejahteraan yang menjadi tunjang kerangka Ekonomi MADANI.
“Sepertimana yang kerap saya tegaskan kerajaan Madani dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendahulukan nasib dan masa depan komuniti India. Tiada mana-mana kaum dipinggirkan seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
“Setiap inisiatif yang dilaksanakan disusuli dengan perlaksanaan dan pemantauan yang cukup rapi,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

