TIADA sebarang bukti mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan jenayah rasuah.
Demikian ditegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada siasatan terhadap Anwar yang dikatakan memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.
Siasatan tersebut telah dijalankan pada 1999.
Malah jelas SPRM, hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti berkenaan termasuk keterangan yang mengaitkannya semasa siasatan dijalankan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) ketika itu.
“SPRM mengambil maklum mengenai kandungan yang tular di aplikasi TikTok berhubung dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel, seperti yang disebut dalam satu sidang Parlimen pada tahun 2013.
“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan BPR pada 1999.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan.
Jelas SPRM, penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh Datuk Abdul Razak Idris, mantan Pengarah Siasatan BPR, yang dibuat pada 2009.
Katanya, pihak WikiLeaks juga telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Anwar seperti yang didakwa semasa sidang Parlimen berkenaan.
Ini sebagaimana berita disiarkan di akhbar Harian Metro bertajuk ‘Dah 5 tahun baru Wikileak nafi’ bertarikh 5 Oktober 2018.
Sehubungan itu, SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.
“SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara,” katanya.

