PELAN damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bukan suatu tawaran, sebaliknya adalah satu bentuk ancaman.
Cadangan pelan yang dirangka As bersama Israel itu menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan ditolak oleh Hamas.
Beliau berpandangan, pembunuhan beramai-ramai akan diteruskan dengan lebih hebat lagi dan disokong AS selepas penolakan berlaku.
“Pelan 20 perkara bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap rakyat Palestin bukanlah satu tawaran kepada Hamas. Ia jelas satu ancaman.
“Saya tidak akan terkejut jika Hamas menolak cadangan itu. Pembunuhan beramai-ramai akan diteruskan dengan lebih hebat lagi dan disokong AS.
“Apa yang dicadangkan AS dan Israel menjadikan semua nyawa yang terkorban serta kemusnahan menyeluruh di Gaza hanya sebagai satu pembaziran. Pengorbanan mereka akan menjadi sia-sia,” katanya melalui media sosial, hari ini.
Isnin lalu, Trump membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.
Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Trump tidak dilihat sebagai seorang pendamai walaupun menampilkan pelan terbabit.
Sebaliknya, kata beliau, Trump menggunakan ancaman tarif tinggi, sekatan ekonomi dan pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak berhenti berperang.
“Tetapi beliau gagal, konflik antara Ukraine dan Russia serta pembunuhan masih berterusan. Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel juga akan terus berlaku.
“Dalam pelan ini, cadangan perlu diterima dalam masa empat hari atau pembunuhan beramai-ramai itu tidak akan dihentikan. Ia akan menjadi lebih teruk.
“Bagaimana AS dan Israel mengharapkan Hamas menerima penyerahan sebagai penyelesaian adalah sesuatu yang sukar difahami,” katanya.
Dr Mahathir berkata, pelan itu boleh diterima Israel kerana ia dirangka bersama Netanyahu yang mahu mengambil alih Gaza.
“Seperti Netanyahu, Trump mahu mengambil alih Gaza. Ini bermakna rakyat Palestin mesti menyerah kalah. Mereka kehilangan lebih 60,000 nyawa akibat pengeboman Israel,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

