PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut supaya kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang telah dipintas rejim zionis Israel dibebaskan dengan segera.
Pada masa sama, Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook turut menuntut supaya kesemua aktivis Malaysia itu diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.
Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa itu.
“Saya dimaklumkan bahawa kapal misi kemanusiaan FFC dan TMTG yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel sekitar pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya untuk melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.
“Kerajaan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin,” katanya.
Baca artikel lain: Semua 9 kapal FFC, TMTG dipintas rejim Zionis 10.50 pagi tadi
Terdahulu, kesemua sembilan kapal yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan FFC dan TMTG dilapor telah dipintas tentera rejim zionis Israel.
Perkara itu dikongsi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan kesemua kapal tersebut telah dipintas pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia, hari ini.
MyCARE memaklumkan semua kapal itu telah dipintas di lingkungan 120 batu nautika dari Gaza.
Kesemua sembilan kapal di bawah gabungan FFC dan TMTG itu sebelum ini dilapor sedang menghampiri perairan zon merah menuju ke Gaza.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Misi pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

