Gaza: Antara kebuluran dan kematian, harga khemah untuk berlindung pun naik kepada AS$1,200

Dari Penulis

‘PENDUDUK Gaza sudah terlalu lelah, kebuluran dan zionis terus-menerus melancarkan serangan bom di seluruh kawasan’.

Demikian derita diceritakan secara eksklusif kepada UtusanTV oleh seorang pengamal undang-undang yang kini berlindung di selatan Gaza, Ahmed Ashour, 29.

Jelas Ahmed, kawasan di utara Semenanjung Gaza dan Bandar Gaza kini menyaksikan tentera haram Israel meningkatkan serangan darat dan bertindak ‘menghalau’ penduduk supaya berpindah.

“Dahulunya ada sekitar satu juta orang dan kami diarah berpindah ke selatan. Ini helah mereka untuk memusnahkan dan merobohkan kediaman kami.

“Namun ribuan orang awam masih terperangkap di bahagian utara kerana kebanyakan keluarga tidak mampu berpindah.

“Ini kerana kos pengangkutan yang mencecah lebih AS$1,500 manakala harga sebuah khemah pun naik kepada lebih AS$1,200,” katanya ketika dihubungi.

Bapa kepada pasangan kembar ini berkata, krisis kemanusiaan semakin memburuk dengan mayat bergelimpangan di jalanan dan dimakan anjing liar.

KEADAAN di Semenanjung Gaza selepas serangan tentera Israel. – Gambar FB MAPIM

Rakyat Gaza menanti penuh sabar

Katanya, pasukan pertahanan awam tidak dapat menguruskan mayat-mayat itu kerana keadaan persekitaran yang terlalu berbahaya.

“Ramai mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan kediaman mereka, tanpa peluang untuk diselamatkan. Ramai yang meninggal dunia akibat sesak nafas atau kebuluran.

“Israel terus-menerus melancarkan serangan dan bom di seluruh kawasan, dan jumlah sebenar korban masih tidak diketahui.

“Rakyat Gaza menanti dengan penuh sabar dan mahukan perang ini berakhir dan gencatan senjata dikuatkuasakan, selepas berbulan-bulan penderitaan, pengeboman dan kemusnahan,” katanya.

Menurut Ahmed, penduduk hidup dalam keadaan menunggu dengan harapan yang rapuh untuk melihat berakhirnya konflik ini.

“Ini supaya kami dapat menarik nafas lega, mengebumikan mereka yang terkorban, mencari dan menyelamatkan sesiapa yang tertimbus di sebalik runtuhan bangunan serta mendapatkan makanan harian yang kini menjadi impian hampir mustahil.

“Di utara mahupun di selatan, penduduk menanti sebarang sinar harapan yang mampu mengakhiri kitaran kematian dan kehancuran, membolehkan bantuan kemanusiaan masuk serta menghidupkan kembali sisa-sisa bandar yang hancur.

“Walaupun derita masih menyelubungi, harapan tetap ada untuk melihat berlakunya gencatan senjata, supaya dapat memulihkan ketenangan di hati rakyat Gaza yang lelah,” katanya.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa satu persetujuan awal mengenai gencatan senjata telah dicapai.

Ia merangkumi penamatan perang di Gaza, pengunduran tentera pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan.

Biarpun begitu, sumber perubatan melaporkan sembilan orang awam Palestin terbunuh akibat tembakan dan bedilan tentera Israel.

Ia menyasarkan beberapa kawasan di Semenanjung Gaza sejak awal pagi Khamis, lapor Agensi Berita WAFA.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This