POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk memastikan setiap proses siasatan berhubung kes tiga lelaki ditembak di Melaka dilaksanakan dengan telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, komitmen itu bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.
Katanya, PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.
“PDRM mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di kawasan Durian Tunggal, Melaka telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Disember (hari ini).
“Hasil penelitian, Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan syor PDRM dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kesalahan bunuh),” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara bersetuju dan mengarahkan agar siasatan berhubung kes tiga lelaki ditembak mati oleh PDRM di Melaka diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
Menurut Jabatan Peguam Negara, perkara itu diputuskan selepas pihaknya dirujuk oleh PDRM dengan laporan kes tersebut.
“Penelitian awal jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” jelas Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan.
Pada 24 November lalu, polis menembak mati tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang didakwa anggota ‘Geng Durian Tunggal’ selepas mereka dikatakan menyerang polis menggunakan parang.
Kejadian itu mengakibatkan seorang anggota polis parah. Kumpulan itu dikaitkan dengan lebih 20 kes jenayah pecah rumah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

