KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menegaskan mesej yang tersebar dalam platform media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak akan menerima pesakit walk-in adalah tidak besar.
Menurut KKM, mesej palsu yang tersebar itu telah menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit walk-in tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi,” jelasnya dalam kenyataan.
KKM memberitahu, pesakit tanpa janji temu tetap dilayan namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu.
Untuk itu katanya, pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan.
“KKM amat memahami bahawa akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu.
“Oleh itu, perkhidmatan walk-in tetap diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” katanya.
Terdahulu tular mengenai mesej menyatakan bermula bulan ini, Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in sebaliknya semuanya akan menggunakan sistem MySejahtera untuk janji temu.

