TIGA individu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) maut selepas kereta Proton X70 dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Alza di Jalan Pan Borneo, kawasan Selepong, Jalan Sri Aman-Serian, pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.30 pagi tadi.
Serentak dengan itu, katanya, sepasukan anggota dari BBP Sri Aman diarah ke lokasi terletak kira-kira 21 kilometer dari balai berkenaan.
Menurut kenyataan itu, tiga individu yang maut adalah seorang lelaki iaitu Lau Sie Tung, 70, dan dua wanita, Grace Lau Chi Ai, 22, serta Lau Yok Leh, 22.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Alza yang dinaiki tiga orang dan Proton X70 dinaiki lima orang.
“Dua lagi individu yang berada dalam kereta Proton X70 cedera di bahagian kepala dan telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan Proton X70 berkenaan terbabas ke tepi jalan dan terbalik sehingga menyebabkan mangsa yang maut tercampak keluar dari kenderaan.
Kenyataan itu memberitahu, kereta Perodua Alza pula telah rentung sepenuhnya.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa yang menaiki Perodua Alza berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 10 pagi selepas kerja pemadaman dan pembersihan selesai.
“Mayat tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

