PKR mendesak rejim zionis Israel supaya segera menghentikan tindakan biadab dan membuka segera semua pintu Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan umat Islam bersolat di masjid berkenaan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik menegaskan, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim zionis Israel itu yang terus menutup pintu kompleks Masjid Al-Aqsa.
Menurut beliau, tindakan menghalang umat Islam daripada menunaikan kewajipan solat di masjid suci ketiga umat Islam itu khususnya pada bulan Ramadan adalah satu provokasi terburuk dan pencabulan hak asasi manusia yang paling nyata.
Maszlee berkata, tindakan sekatan yang dikenakan oleh rejim penjajah Israel itu bukan sahaja menyekat kemasukan ke Kota Lama Baitulmaqdis, malah secara diskriminasi dan sewenang-wenangnya menutup tempat ibadat kepada umat Islam.
“Tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta melanggar prinsip akses tanpa sekatan ke tempat ibadat.
“PKR juga menyambut baik kenyataan tegas daripada lapan negara majoriti Islam iaitu Indonesia; Mesir; Jordan; Pakistan; Qatar; Arab Saudi; Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dengan lantang mengecam tindakan haram ini.
“Kenyataan bersama mereka yang dikeluarkan baru-baru ini menegaskan bahawa Israel tiada kedaulatan ke atas Baitulmaqdis yang diduduki atau tapak suci Islam dan Kristian di dalamnya.
“Sokongan padu dari negara-negara ini membuktikan bahawa isu Al-Aqsa adalah isu umat Islam sejagat, bukan sekadar isu politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, pihaknya juga mengambil maklum kenyataan Kementerian Luar Palestin yang menegaskan bahawa tindakan Israel itu adalah pelanggaran serius terhadap hak sejarah dan perundangan yang sedia ada.
“Begitu juga dengna laporan terkini dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mendokumentasikan peningkatan ketara pelanggaran di Masjid Al-Aqsa termasuk menghalang jemaah daripada menunaikan solat Isyak, tarawih dan solat Jumaat.
“Ini membuktikan bahawa tindakan biadab ini adalah satu dasar yang diracang dan bukan bersifat sementara,” katanya.
Sebagai rekod, seluruh kawasan Masjid Al-Aqsa yang berkeluasan 144,000 meter persegi adalah tempat ibadat khusus untuk umat Islam.
Oleh yang demikian, Maszlee turut menyeru kerajaan Malaysia terus menyuarakan pendirian tegas di pentas antarabangsa khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan tekanan antarabangsa terhadap Israel digandakan.
Pada masa sama, kata beliau, negara-negara Islam juga perlu segera mengadakan sidang tergempar dan menggunakan semua mekanisme diplomasi termasuk tekanan ekonomi dan politik untuk memaksa rejim zionis Israel membuka semua pintu Masjid Al-Aqsa serta-merta.
“Seluruh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia perlu terus mendoakan pembebasan Masjid Al-Aqsa dan mengukuhkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

