DALAM suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar, kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan pembangunan negara harus beralih kepada model yang lebih inovatif, dinamik serta tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50, dan mengambil kesempatan tersebut untuk turut menyentuh perkembangan mutakhir berkaitan konflik di Asia Barat.
“Mesyuarat ini telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan.
“Termasuk usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Katanya, kerajaan MADANI kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik berkualiti, sistem mobiliti lebih cekap, serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari.
“Sesungguhnya, pembangunan fizikal negara mesti berteraskan kesejahteraan rakyat ditambah dengan perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang berkesan.
“Insya-Allah kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

