SEORANG pegawai berpangkat inspektor yang didakwa melanggar anggota polis trafik diarah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Ia selepas peguam, G Nanda Goban yang mewakili tertuduh, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40 bahawa anak guamnya menghidap skizofrenia.
Perintah menjalani pemeriksaan kesihatan mental itu dikeluarkan Hakim Mazuliana Abdul Rashid di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Nanda Goban memberitahu, keluarga anak guamnya memohon supaya dirujuk ke bahagian psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.
Pada masa sama, beliau berkata, keluarga tidak mahu tertuduh yang pernah berkhidmat di Polis Kontinjen Kedah diikat jamin.
“Tertuduh mempunyai rekod perubatan dan cuti sakit. Sepanjang tempoh itu, tertuduh dalam keadaan terkawal dengan menjalani rawatan dan mengambil ubat seperti disarankan sehingga Februari lalu.
“Difahamkan tertuduh gagal meneruskan rawatan selepas tempoh itu sehingga berlakunya kejadian (langgar dan memandu secara melulu).
“Malah sebelum ini, bapanya pernah buat laporan polis untuk bawa tertuduh ke hospital namun apabila anggota polis tiba di rumah, tertuduh melarikan diri,” katanya dalam prosiding itu.
Terdahulu, Muhammad Kamal mengakui faham dengan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
“Saya sakit ‘sihir’, saya tak ingat la,” katanya.
Dia didakwa cuba membunuh dengan cara melanggar anggota polis trafik berpangkat konstabel menggunakan kereta Perodua Axia dan perbuatan itu diketahui boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan berkenaan dilakukan di Jalan Sultan Yahya Petra, 10.47 malam pada 10 April lalu.
Berikutan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala sekiranya perbuatan itu menyebabkan cedera boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya J Banusha yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira keseriusan kes dan kepentingan awam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mei depan.

