MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluluskan penambahan peruntukan RM800,000 kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Menurut Dzulkefly, jumlah itu adalah penambahan kepada RM1 juta peruntukan asal yang dirancang.
Katanya, peruntukan itu disalurkan khusus untuk menaiktaraf Balai Pelawat serta memperkasa infrastruktur dan aset sedia ada, termasuklah perolehan aset-aset perubatan dan bukan perubatan, serta kerja-kerja menurap semula jalan di kawasan tempat letak kenderaan HSNI.
“Mengakhiri siri lawatan kerja dua hari di daerah Batu Pahat, saya telah melawat HSNI.
“HSNI merupakan hospital utama di Daerah Batu Pahat dan bertindak sebagai hospital rujukan utama bagi kawasan Johor Barat dan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 500,000 penduduk setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, dunia pada hari ini sedang berdepan dengan pelbagai tantangan termasuklah krisis tenaga global.
Namun, katanya, hasil daripada kestabilan kerajaan dan tatakelola ekonomi yang baik, kerajaan berjaya menguruskan cabaran itu dengan baik sehingga manfaatnya dapat dipulangkan terus kepada rakyat melalui penyediaan sistem kesihatan yang mampan dan berdaya tahan.
Menurut Dzulkefly, kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa menjadi kunci utama kepada kejayaan agenda kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

