GARA-GARA menjadi penjamin rakan yang dipercayai mempunyai hutang judi, seorang lelaki warga China dikurung selama tiga hari di sebuah unit rumah inap di Cheras, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memaklumkan, mangsa berusia 36 tahun itu berjaya diselamatkan dalam serbuan polis, Jumaat lalu.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan serbuan ke atas rumah inap itu di Sunway Velocity, Jalan Peel, kira-kira pukul 9 malam.
Mohd Rosdi berkata, siasatan awam mendapati mangsa dijadikan ‘penjamin’ kepada rakannya yang mempunyai hutang judi sebanyak RM100,000.
“Berikutan tindakan rakannya yang melarikan diri, mangsa telah dikurung selama tiga hari sebagai desakan untuk melunaskan hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rosdi memberitahu, dua lelaki warga tempatan berusia 30 tahun telah ditahan dalam serbuan tersebut.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya masih giat menjalankan usaha mengesan dalang utama kes berkenaan.
“Polis juga merampas beberapa barangan termasuk serangkai kunci rumah, kad akses serta dua buah telefon bimbit.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

