SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat lagi suspek kerana disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.
Perintah reman selama enam hari sehingga 30 April 2026 terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Majistret Shaik Zuladdruse Merican Fadzol selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan kira-kira antara jam 8 dan 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati dua suspek yang merupakan pengarah syarikat, seorang akauntan manakala seorang lagi orang awam disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022.
“Kesemua suspek dipercayai bersubahat memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa di Pelabuhan Klang bagi tujuan pelepasan barang import yang tidak diisytihar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selasa lalu, SPRM melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) telah menjalankan satu operasi bersepadu dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Op Celio.
Sehubungan itu, penggeledahan telah dijalankan di 26 buah lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
Operasi tersebut menyasarkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
Melalui operasi itu juga, SPRM telah membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM185 juta.
Pada masa yang sama, seramai lima individu juga telah dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
Sehubungan itu, akibat daripada aktiviti ini kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

