NATASHA Hudson diselar kerana memakai gaun yang seolah-olah menampakkan bahunya

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa hari mengunci mulut berhubung kontroversi busana putih salju yang dipakainya pada Selasa lalu, akhirnya pelakon Natasha Hudson tampil berkongsi pandangan.

Menurut Natasha atau nama lengkapnya Natasha Liana Hudson, 39, dia berpendapat kenyataan pereka fesyen Rizman Ruzaini itu bersifat berat sebelah.

“Selepas diamati kenyataan pereka fesyen itu saya lihat ia berbaur peribadi dan berat sebelah. Mungkin kenyataan itu dibuat kerana tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaun dedah bahu, tak sesuai dengan imej bertudung. Ini komen Natasha Hudson

“Mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tapi dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati mereka. Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.

“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” katanya.

RIZMAN Ruzaini

Tambah bintang filem Chermin itu lagi, dia akui agak terkejut dengan reaksi dua pereka fesyen itu.

“Saya bukan tidak mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu.

“Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik kepada saya sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang disifatkan seperti menghentam.

“Saya berasakan komen mereka yang busana itu tidak sesuai untuk orang berhijab tak tepat. Sedangkan kalau kita membuat carian di Internet, busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan.

“Apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” katanya.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu bagaimanapun mengakui khilafnya saat mengenakan busana berkenaan.

“Ikutkan busana yang saya sarung itu boleh saja digayakan sesiapa pun mengikut cita rasa dan olahan gaya masing masing. Ya, saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya.

“Jujur saya tak sangka ia akan mencetuskan kontroversi. Malah harus saya tegaskan ia juga bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk Crystal C White,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Baju itu bukan beli dengan air liur, hormat pembeli baju itu,” – Penganjur

Natasha turut berpendapat jika sebaiknya pereka fesyen itu membuat permohonan maaf kepada Nor Shahlina.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh pereka fesyen itu juga telah mengguris hati Nor Shahlina yang selama ini menjadi antara pelanggan tetapnya.

“Cara mereka memberi jawapan tidak tahu siapa pembeli, baju itu dibeli dengan potongan harga 90 peratus juga dilihat tidak matang dan tidak sesuai disebut. Apakah satu dosa membeli baju yang dilelong dengan diskaun rendah?

“Ia seperti membuka pekung sendiri seolah-olah baju yang dibuat tidak laris sebelum potongan harga. Ingat istilah ‘customer is always right’. Sewajarnya mereka memohon maaf kepada Nor Shahlina. Dalam hal ini juga saya hanya pemakai dan ambil tanggungjawab menggalasnya biarpun diberi beberapa pilihan busana lain,” jelasnya.

Terdahulu, penampilan Natasha yang muncul dalam majlis pelancaran sebuah produk supplemen kecantikan pada Selasa lalu heboh diperkatakan oleh netizen.

Ia berikutan Natasha yang ketika itu mengayakan gaun putih salju, seolah-olah menampakkan bahagian bahu dan belahan di betisnya.

TONTON VIDEO PILIHAN: