KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan dakwaan bahawa petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia akibat kelesuan dalam bertugas ataupun kerana jangkitan COVID-19.

Sebaliknya beliau berkata ia disebabkan Allahyarham mempunyai penyakit lain, namun enggan mendedahkannya ketika ditanya.

“Beliau meninggal bukan akibat jangkitan COVID-19 atau kelesuan dalam bertugas,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama. 

Sementara itu, Noor Hisham menerusi Facebook berkata, bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor Hassan, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau.

Menurut Noor Hisham, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan.

Baca lagi:

Doktor barisan hadapan meninggal dunia selepas sempat dirakam keletihan

Katanya, ujian COVID-19 ke atas Dr Ali Noor juga adalah negatif.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor bin Hassan atas pemergian beliau.
Allahyarham Dr Ali Noor telah pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam kelmarin (18 Januari 2021).

“Beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Noor Hisham.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Kematian Dr Ali Noor mendapat perhatian meluas netizen sejak tengah malam tadi kerana dikaitkan dengan keletihannya dalam bertugas merawat pesakit COVID-19.