SHAH ALAM – Wanita yang tular selepas kisahnya dibantu polis Petaling Jaya semalam gara-gara tidak mampu membayar KoolFever dan sedikit barang makanan untuk anaknya semalam adalah asnaf berdaftar di Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Facebook agensi itu yang turut memaklumkan surirumah berkenaan adalah penerima zakat.

Menurut LZS, keluarga tersebut telah berdaftar sejak tahun 2018 dan menerima bantuan kewangan bulanan, perayaan dan keperluan sekolah.

“Atas info yang diberikan berkenaan tular ibu terdesak mencuri, kami dapat mengesan maklumat wanita terbabit. Untuk makluman berdasarkan kepada semakan kami, keluarga ini adalah asnaf berdaftar dengan LZS sejak 2018 sehingga kini.

“Mereka telah disantuni dengan bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan bantuan keperluan sekolah.

‘Namun begitu, prihatin dengan apa yang berlaku, kami akan melihat semula keperluan keluarga ini dan permasalahan mereka,” kata LZS dalam hantaran berkenaan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis PJ hulur bantuan pada wanita ‘curi’ makanan, ubat untuk anak sakit

Terdahulu, kisah Polis Daerah Petaling Jaya memberi bantuan kepada wanita berkenaan semalam yang sebelumnya ditahan pengurusan sebuah pasar raya kerana ‘gagal membayar’ ubat dan makanan untuk anaknya.

Kisah Polis Daerah Petaling Jaya menghulur sumbangan kepada keluarga wanita berkenaan menjadi tular semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu, namun tiada tindakan lanjut diambil ke atasnya.

KoolFever antara yang gagal dibayar wanita berkenaan. Gambar FB IPD PJ

Pendekatan polis daerah itu yang menggunakan pendekatan belas dan ihsan dalam mengendalikan kes wanita berkenaan mendapat pujian ramai warga maya.

Walaupun mencuri satu kesalahan jenayah namun dalam situasi penularan COVID-19 yang menyebabkan keadaan ekonomi bagi sebahagian pihak menjadi sangat getir, budi bicara yang digunakan Nik Ezanee dianggap tepat.