SEBANYAK 2,364 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan penularan yang dilaporkan kini berjumlah 298,315.
Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor terus melaporkan kes tertinggi dengan 862 kes diikuti Johor (314 kes) dan Sarawak 255 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 10 lagi kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,121 kes.
Menurut beliau, kes-kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor, dan masing-masing satu kes di Johor dan Sarawak.
“Sebanyak lapan (8) kes melibatkan warganegara dan dua (2) kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Baca artikel berkaitan: 2,364 kes baharu, Selangor catat peningkatan

Hari ini juga kata Noor Hisham, menyaksikan kes sembuh yang lebih tinggi daripada kes baharu dengan 3,320 kes sembuh.
Katanya, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) pula berjumlah 190 orang makala 99 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Menurut beliau, perkembangan terbaru ini menyaksikan jumlah kes aktif COVID-19 kini berjumlah 27,028 kes.
KKM juga ingin memaklumkan terdapat lapan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Kata Noor Hisham, ia melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster melibatkan komuniti.
Lima daripadanya di Johor manakala masing-masing satu di Kelantan, Sarawak dan Perak.
Dalam pada itu, KKM ingin memaklumkan bahawa meskipun aktiviti imunisasi COVID-19 fasa 1 telah mula dijalankan, segala aktiviti dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam wajar diteruskan.
“Ini termasuk kawalan sempadan antarabangsa, pelaksanaan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP), aktiviti ujian dan saringan COVID-19 sama ada saringan di lapangan, pengesanan kontak rapat, pengasingan kes yang disyaki dan dijangkiti serta lain-lain tindakan kesihatan awam oleh pelbagai agensi.
“Impak tindakan-tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa dan kemudiannya akan dibincangkan bersama oleh Kerajaan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

